ALOR SETAR, 21 Januari- Dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kayu setingkat di Tongkang Yard di sini pagi tadi.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, identiti kedua-dua mayat yang ditemukan di tingkat bawah belum disahkan.
"Siasatan masih dijalankan oleh pihak forensik jabatan bomba dan juga pihak siasatan forensik daripada pihak polis.
"Kita akan bekerjasama untuk mengenal pasti punca sebab keadaan kejadian tersebut. Pada masa sama kita buat panggil pengesan unit anjing pengesan daripada jabatan bomba ke lokasi," katanya.
Pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.57 pagi tadi namun rumah terbabit didapati berkunci dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan kejiranan.
Kira-kira 70 peratus rumah terbabit terbakar melibatkan bahagian tingkat atas dan ruang tamu.
Bagaimanapun siasatan masih dilakukan berikutan dilaporkan mangsa tidur di tingkat atas atau berada di tingkat bawah rumah.
Kebakaran tersebut berjaya dikawal kira-kira 7.11 pagi dan tiada kerosakan harta lain.