SIMPANG PULAI, 5 April- Dua lelaki ditahan kerana disyaki menyeleweng lebih 32,000 liter minyak diesel bersubsidi di Kampung Kepayang, di sini sejak tiga bulan lalu.
Suspek warga tempatan berusia 49 dan 47 tahun itu menjadikan premis kolam ikan sebagai tempat pengumpulan diesel bersubsidi tanpa permit.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dibuat hasil risikan terhadap aktiviti pembelian diesel secara berulang di stesen minyak sekitar.
"Perbuatan itu dipercayai dilakukan menggunakan lori yang diubah suai. Diesel berkenaan dikumpul dan disimpan dalam tangki bawah tanah sebelum dijual kepada pihak industri.
Dalam sebulan, enam kali penghantaran dibuat, hasil maklumat awal, tangki besar ini akan dihantar ke Pulau Pinang untuk tujuan penyelewengan," katanya.
(Datuk Kamalludin Ismail, Pengarah KPDN Perak)
Dalam serbuan tersebut, pihaknya turut menyita lima unit peralatan pam penyedut minyak dan dua buah lori yang digunakan untuk membeli dan mengedar minyak diesel.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.