fb fb fb fb fb

Dua kanak-kanak lemas mandi tali air

Lokasi dua kanak-kanak ditemukan lemas di Kampung Padang Besar Selatan, Perlis /Foto RTM

KANGAR, 31 Oktober - Dua kanak-kanak lemas, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan ketika mandi di tali air Kampung Padang Besar Selatan dekat sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dalam kenyataan mengesahkan, mangsa yang lemas dikenali sebagai Iskandar Zulkarnain Mohd Faizal, 8, dan Muhammad Haikal Hakim Mohd Yuhanis, 11.

Kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Padang Besar Selatan dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Besar Selatan.

Manakala tiga lagi mangsa berusia antara 10 dan 11 tahun diselamatkan orang ramai.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan tali air berkenaan baharu sahaja dikorek untuk pembersihan, dan paras kedalaman air setinggi kira-kira 2 meter.

Pengecaman terhadap kedua-dua mangsa yang lemas telah dilakukan oleh waris masing-masing, kira-kira pukul 8.09 malam tadi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuanku Fauziah. 

EMMI NORALIZA ADNAN