fb fb fb fb fb

Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Triang

BERA, 16 Ogos- Dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Triang dekat jeti Pasar Kerayong, Bera petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran berkata, kejadian pada pukul 3.30 petang itu melibatkan mangsa berusia 11 dan 15 tahun.

"Kedua-dua mangsa datang bersama enam lagi rakan mereka ke lokasi kejadian untuk mandi dengan menggunakan pelampung tiub tayar lori di tengah sungai.

Namun, kedua-dua mangsa dipercayai terlepas daripada tiub terbabit dan terus dihanyutkan arus deras," katanya.

(Pelbagai agensi terlibat dalam SAR dua kanak-kanak yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Triang)

Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada pukul 5.00 petang melibatkan pelbagai agensi terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai enam anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan kejadian.

"Operasi turut mendapat bantuan daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh.

Pemantauan dilakukan di sekitar lokasi kejadian dan pencarian di permukaan dibuat menggunakan bot fiber dan aluminium bomba," katanya.

Operasi ditangguhkan pada pukul 7.15 petang tadi dan bersambung pagi esok.

Media Baharu