fb fb fb fb fb

Dua beranak maut motosikal dirempuh pacuan empat roda

Foto fail

JERTIH, 21 Mac - Dua beranak maut apabila motosikal yang dinaiki dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu dekat Kampung Padang Landak, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Azamuddin Ahmad@Abu berkata, dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu, penunggang motosikal terbabit Mohd Nazri Mohd Nor, 59, dan anak lelakinya Muhammad Hamas, 25, meninggal dunia di Hospital Besut pada 10.30 malam.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan 4x4 yang dari arah Jerteh ke Kampung Padang Landak telah terlanggar motosikal dinaiki mangsa dari arah belakang selepas motosikal itu membuat pusingan U dan mengubah laluan ke lorong tengah untuk ke Masjid At-Taqwa di kiri jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal dikejarkan ke Hospital Besut dan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda, seorang lelaki berusia 27 tahun, tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azamuddin berkata kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

TETITIA YUSOFF