fb fb fb fb fb

KKR kaji kaedah kurangkan kos pembinaan tanpa jejas kualiti

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan

PENDANG, 21 Mac - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengkaji kaedah terbaik bagi mengurangkan kos pembinaan projek pembangunan tanpa menjejaskan kualiti bangunan atau kemudahan yang dibina bertujuan memastikan setiap projek yang dilaksanakan kekal setanding dengan kaedah pembinaan moden yang digunakan pada masa kini.

Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beberapa kaedah telah dicadangkan pada pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan lawatan kerja ke Kementerian Kerja Raya di Putrajaya, semalam.

Antara kaedah yang dicadangkan adalah menggunakan Building Information Modeling (BIM) secara meluas; dan menggunakan Prefab Modular System iaitu bongkah-bongkah yang telah siap dan dicantumkan menjadi sebuah struktur bangunan yang lengkap.

Selain itu, kaedah Industrialised Building System (IBS) yang dibuat di lokasi projek dan kaedah yang boleh mengurangkan tempoh pra-pembinaan dan tempoh ketika pembinaan turut dikemukakan.

Beliau berkata, kesemua kaedah yang dicadangkan bagi mengurangkan kos sesuatu projek yang disifatkan terlalu tinggi ketika ini selain projek dapat disiapkan dalam jangka masa yang cepat.

"Jadi kaedah-kaedah diminta dicari oleh Perdana Menteri bagaimana kita boleh mengurangkan kos projek supaya kita boleh menambah bilangan projek dan apabila kita boleh menambah bilangan projek maka kita boleh memberi lebih banyak prasarana rakyat kepada lebih ramai orang. Itu tujuannya. Jadi kalau kita boleh kurangkan situ RM10 juta, RM20 juta, RM30 juta maka kita boleh buat satu lagi sekolah ke misalnya, tambahan di tempat yang berlainan misalnya," kata Ahmad Maslan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang di Pekan Pendang, Kedah.                            

Semasa lawatan kerja itu, beliau turut diberi taklimat berkaitan perkembangan beberapa projek pembangunan Kerajaan Persekutuan yang sedang dilaksanakan di daerah Pendang.

TETITIA YUSOFF