KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jenazah dua beradik maut dalam kemalangan di Kilometer 257.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat Seremban selamat dikebumikan kira-kira 11.15 malam tadi.
Allahyarham Mohd Husaini Amir Harun, 29 dan adiknya Muhammad Amirul Syafiq Harun (25) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tunggal Kuala Nerus bersebelahan Ibu mereka.
Terdahulu jenazah tiba di kediaman Keluarga dari Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban kira-kira 7.30 malam tadi sebelum selesai disolatkan 10.00 malam tadi.
Lebih 200 ahli keluarga serta kenalan hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
Bapa Allahyarham, Harun Ismail tidak menyangka panggilan video bersama Mohd Husaini Amir pada malam Khamis merupakan yang terakhir.
Kedua-dua anak lelakinya disifatkan sangat berbakti kepada keluarga dan kali terakhir berjumpa pada Aidilfitri.
(Harun Ismail)
"Dia baik dengan semua orang, apatah keluarga sendiri. Saya pun tidak sangka jadi macam ini, arwah suka buat panggilan video dengan saya.
"Saya juga sempat bertanya berkenaan wang belanja hariannya, kerana arwah masih belum dapat gaji. Saya pun tidak menyangka, panggilan video itu merupakan yang terakhir daripada arwah, sudah takdir. Allah sayang dia," katanya kepada RTM.
Insiden dua beradik itu berlaku 7.05 minit pagi semalam apabila sebuah lori yang membawa muatan makanan haiwan dipandu lelaki berumur 49 tahun sedang bergerak di lorong kiri lebuhraya dari arah Pulau Pinang menuju ke arah Melaka.
Motosikal yang ditunggang dari arah lorong kecemasan kemudian menukar haluan dan masuk ke lorong kiri, namun telah melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.