fb fb fb fb fb

Bilik sewa terbakar: Dua beradik maut, ibu kritikal

Kebakaran yang berlaku di bangunan rumah kedai di Jalan Plaza Mahkota, Banda Hilir meragut nyawa dua beradik, manakala ibunya kritikal

MELAKA, 11 Julai - Dua beradik maut manakala ibu mereka kritikal selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota Melaka, Banda Hilir di sini petang tadi.

Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12 tahun dan adiknya Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2 tahun empat bulan dipercayai terhidu asap ketika berada di bilik sewa mereka di blok bangunan tersebut.

Manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40 tahun dilaporkan kritikal sedang dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) , Christopher Patit berkata bangunan tiga tingkat itu dijadikan bilik sewa di tingkat dua dan tiga dengan mempunyai 21 bilik sewa dan hanya 6 berpenghuni.

"Namun ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu tiada mangsa lain dilaporkan dipercayai mereka tiada di bilik kerana bekerja.

"Manakala tiga beranak tersebut dipercayai terperangkap sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sementara itu menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, siasatan mendapati kebakaran dipercayai bermula daripada ruang pejabat yang berada di tingkat satu sebelum asap tebal merebak ke bilik-bilik sewa di tingkat dua dan tiga.

Namun punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN