fb fb fb fb fb

APAD batal lesen pengendali syarikat bas terlibat kemalangan di Genting Highlands

FOTO IPD BENTONG

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen pengendali syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 16.6 Jalan Genting Highlands.

Ia susulan syarikat tersebut gagal mematuhi syarat lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dan pemanduan secara berbahaya.

APAD menerusi kenyataan memaklumkan semakan turut mendapati Syarikat M. Kumar Trans Tour Sdn. Bhd mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

Sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi syarikat berkenaan tidak akan dibenarkan berkuatkuasa serta-merta.

APAD menerusi kenyataan sama turut menegaskan pendirian untuk tidak berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya.

Pemeriksaan audit pematuhan dan keselamatan ke atas pengendali yang berisiko tinggi akan dipergiat untuk memastikan keselamatan pengguna sentiasa diutamakan.

Syarikat pengendali turut diingatkan untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dan hendaklah memastikan aspek kebajikan pemandu adalah terjaga setiap masa dalam memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE