fb fb fb fb fb

UMPSA teroka kerjasama bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia

Majlis tanda tangan MoU antara UMPSA dan LPNM

Pekan, 11 Julai- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneroka bidang industri nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pemerkasaan teknologi dalam industri nanas di Malaysia.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan Universiti Awam bawah rangkaian universiti teknikal Malaysia.

Sehubungan itu katanya, UMPSA komited untuk membina kerjasama bersama pihak agensi dalam usaha melahirkan penyelidik dan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini.

Ujarnya, kerjasama dua hala itu mula terjalin melalui projek Geran Program Pemindahan Ilmu bawah program pendanaan Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2017.

Kesinambungan daripada itu, beberapa penyelidik UMPSA telah berkerjasama dengan pihak LPNM Negeri Pahang dalam pelbagai kerjasama inovasi dan penyelidikan berkaitan dengan sisa nanas dan teknologi penanaman nanas.

Antara inovasi yang dilaksanakan UMPSA ialah cendawan nanas, baja organik prebiotik Prepecto, dan dron pembajaan.

Selain itu, beberapa penyelidik lain juga turut terlibat membantu inisiatif LPNM dalam projek ‘Pineapple Night Farming’ dengan penggunaan kuasa solar dan teknologi Internet of Things (IoT).

Beliau berharap hasil penyelidikan yang dihasilkan dapat membantu perindustrian nanas negara sesuai dengan salah satu fungsi LPNM yang menyokong penyelidikan yang berkaitan industri nanas.

Ia sebagai usaha meningkatkan ekonomi negara dengan penghasilan buah nanas berkualiti tinggi bagi pasaran eksport serta produk hiliran yang dapat membantu komuniti setempat serta usahawan-usahawan tempatan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE