fb fb fb fb fb

Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah hari ini

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad, Datuk Dr Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mereka merupakan lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hingga 20 Mac 2025.

Tan Sri Dr Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan dua Ahli Dewan Negara ini mengingatkan mereka supaya menggalas tanggungjawab sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi.

“Zaman Ahli Dewan Negara seperti dahulu harus dikikis dan Ahli Dewan Negara yang baharu perlu jadikan sebagai realiti dan senarai tugas telah diberikan dan diharapkan Ahli Yang Berhormat menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjuarai apa-apa juga bidang yang terpalit dengan tugasan tersebut.

“Tugas dan khidmat kita tidak berakhir pada bunyi loceng Parlimen sebaliknya khidmat kita lantas terus di lapangan rakyat sama ada di kampung dan pekan, di bandar dan luar bandar,” katanya.

(Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad, Datuk Dr Azhar Ahmad angkat sumpah hari ini/FOTO Parlimen)

Rais turut menekankan supaya Ahli Dewan Negara tidak membaca teks perbahasan secara keseluruhannya sebaliknya berbahas mengikut lunas di Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36.

Katanya, setiap Ahli Dewan Negara perlu mematuhi serta melunaskan tanggungjawab sebagai Senator sebaiknya kerana hasil kerja setiap daripada mereka akan dinilai dan diukur oleh rakyat.

Media Baharu