fb fb fb fb fb

Diskaun tol Aidilfitri dijangka diumum esok - Alexander

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Kadar diskaun bagi bayaran tol sempena Aidilfitri dijangka akan diumum selepas mesyuarat kabinet, esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hari ini.

"Kita tunggulah. Akan diumumkan. Saya harap mungkin esok petang boleh diumumkan selepas mesyuarat kabinet," kata Alexander kepada pemberita, hari ini di ibu negara.

Sebelum ini, beliau melaporkan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus pada Aidilfitri ini seperti yang diberikan pada Tahun Baharu Cina, Januari lalu.

Sementara itu, setiap kontraktor di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) diminta untuk tidak mengambil pendekatan jalan pintas sehingga menjejaskan kualiti jalan dan jambatan dalam menyiapkan projek.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengingatkan untuk mengambil iktibar daripada peristiwa kemalangan jalan raya di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, baru-baru ini.

Beliau menekankan peristiwa kemalangan jalan raya itu yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik.

"Tuan-tuan tidak hanya membina jalan dan jambatan tetapi membina kehidupan dan masa depan negara. Kegagalan kita mengikut spesifikasi dan standard atau mengambil jalan pintas boleh menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa sekali gus menjejaskan imej negara," kata Nanta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek, hari ini.

Alexander menyempurnakan serahan SST bagi enam lagi projek jalan dan jambatan di bawah dua kementerian.

Daripada enam projek yang menerima SST hari ini, empat daripadanya adalah projek di bawah (KKR) dengan kos keseluruhan adalah RM156.51 juta.

Tambah beliau, cabaran terbesar dalam industri pembinaan adalah projek sakit, yang bukan sahaja menyebabkan peningkatan kos tetapi juga melambatkan manfaat kepada rakyat.

Oleh itu, KKR telah menetapkan dua sasaran utama untuk memastikan pelaksanaan projek lebih cekap dan berkesan.

Ini bagi memastikan Zero Sick Projects, di mana tiada lagi projek tertangguh atau bermasalah yang boleh menyebabkan pembaziran sumber dan melaksanakan projek Ahead of Time (AOT).

Katanya, langkah itu membantu mengoptimumkan masa dan kos selain usaha mengelakkan kelewatan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM