fb fb fb fb fb

Diskaun khas buat pengusaha Menu Rahmah, disambut baik

KUALA LUMPUR, 19 April- Pengusaha restoran Menu Rahmah menyambut baik inisiatif kerajaan menawarkan diskaun khas untuk barangan keperluan asas di pasar raya terpilih.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata langkah itu dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha restoran mengambil bahagian menyediakan Menu Rahmah.

"Ini sesuatu yang cukup baik, saya yakin dan percaya dengan adanya pengumuman positif daripada Perdana Menteri akan ada lebih ramai lagi dalam kalangan ahli-ahli PRESMA, mungkin juga peniaga tom yam, semua yang ada di luar sana akan turut serta menjayakan program Menu Rahmah ini," katanya kepada RTM.


(Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan)

Beliau juga yakin menerusi pemberian diskaun, pengusaha dapat menyediakan Menu Rahmah secara berterusan.

Ia berikutan sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan pelajar sejak ia dilaksanakan.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar diskaun khas untuk pengusaha Menu Rahmah, di pasar raya terpilih akan bermula pertengahan bulan depan.

Media Baharu