TUMPAT, 19 April- Sempena Aidilfitri tahun ini, KELANTANfm turut tidak ketinggalan menerbitkan beberapa rancangan khas buat pendengar setia mereka.
Rancangan Khas Aidilfitri berdurasi antara 30 minit hingga sejam itu akan mula bersiaran seawal 1 Syawal.
Menurut Ketua Bahagian Rancangan KELANTANfm, Mohd Azlan Mahmood rancangan yang bakal disiarkan berbentuk hiburan, drama dan dokumentari radio.
Antaranya, Selokaraya, Muzikaraya, Dikir Raya, Masih Ada Sayang dan Raya di Perbatasan.
"Rancangan - rancangan terbitan khas untuk Aidilfitri ini telah kami susun daripada raya pertama hingga raya ketiga dari pagi hingga petang dan kami juga ada rancangan kolaborasi antara negeri, Tiara Mesra Khas iaitu pada malam raya kedua. Jadi jangan lupa dengarkan rancangan khas yang telah kami rakamkan khas buat pendengar semua," katanya.
(Ketua Bahagian Rancangan KELANTANfm, Mohd Azlan Mahmood)
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan sempena “Program KELANTANfm Ambil Peduli” kepada dua buah rumah kanak – kanak kurang bernasib baik masing – masing di Wakaf Bharu, Tumpat dan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Hadir sama Pengarah Penyiaran Negeri, Wan Azhan Wan Hamat.
Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata siaran khas itu turut akan menampilkan nyanyian lagu raya dendangan para juruhebah KELANTANfm.