KUALA LUMPUR, 30, Oktober-Kerajaan kini mengguna pakai sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) dalam usaha bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sistem tersebut merupakan pengintegrasian data khas dalam aplikasi Geographic Information System (GIS) merentasi pelbagai kementerian dan agensi.
Menurut Armizan, integrasi maklumat tersebut berupaya mewujudkan 'joint common operating picture (JCOP) yang turut beroperasi 24 jam di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di bawah NADMA bagi membolehkan maklumat terkini dan tepat mengenai kejadian dan situasi bencana di sesuatu lokasi dipantau dan diperolehi.
"Antara agensi yang sudah integrasi dalam platform DGIM ialah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR), Agensi Angkasa Negara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)", katanya ketika menjawab soalan asal Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai inisiatif kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data berpusat terbuka melalui DOSM dalam usaha mengumpul semua data berkaitan bencana bagi meningkatkan kesiapsiagaan.