Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026

Menteri Kewangan ll Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) 2026 di Dewan Rakyat hari ini. / Foto BERNAMA

 

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU Perbekalan Tambahan diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Peruntukan RM7.94 bilion diagihkan kepada perkhidmatan perbendaharaan, Kumpulan Wang Terkanun, KPDNKS dan KPT.
  • Kerajaan menegaskan pengurusan fiskal lebih terkawal; juga meluluskan GSL RM135 juta untuk menyelesaikan projek EKVE tanpa naik tol.

KUALA LUMPUR, 26 Februari Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan berjumlah RM7.94 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Peruntukan tambahan itu melibatkan pengeluaran wang tidak melebihi RM7.94 bilion daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan pada 2025.

Peruntukan berkenaan diagihkan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan (RM1.39 bilion), Kumpulan Wang Terkanun (RM5.29 bilion), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM993.94 juta) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (RM257.59 juta).

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, beliau berkata jumlah tambahan tersebut jauh lebih rendah berbanding RM70 bilion pada 2022, RM30 bilion (2023) dan RM20 bilion (2024).

“Kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan fiskal yang lebih terkawal dan berdisiplin,” katanya.

Sementara itu ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan telah meluluskan pinjaman mudah (GSL) berjumlah RM135 juta kepada syarikat konsesi Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) bagi memastikan projek itu siap.

Beliau berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri pada 27 Oktober 2023, mengambil kira kemajuan fizikal projek melebihi 90 peratus serta kekangan kewangan syarikat akibat kenaikan kos dan isu pelaksanaan berlarutan.

“Bantuan GSL ini akan menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan, tanpa melibatkan kenaikan kadar tol atau lanjutan tempoh konsesi seperti yang ditetapkan dalam perjanjian asal,” katanya.