
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 yang bertujuan mengubah kadar pemberian mengikut bilangan orang setiap negeri mengikut struktur baharu.
- Parlimen meluluskan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 untuk mengubah kadar pemberian mengikut bilangan orang setiap negeri.
- RUU bertujuan memastikan layanan lebih adil dan menambah pemberian untuk negeri berpenduduk rendah serta negeri padat penduduk.
- Akta berkuat kuasa 1 April dan dijangka memerlukan perbelanjaan tambahan sehingga RM538 juta.
RUU itu diluluskan selepas ia dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong bagi bacaan kali kedua dan ketiga.
“Ini adalah titik permulaan untuk kita memastikan semakan semula yang lebih berkala iaitu setiap 10 tahun dan kerajaan mengalukan apa sahaja cadangan dan saya harap ahli parlimen boleh melalui proses-proses jawatankuasa memberi cadangan baharu untuk mewujudkan atau memastikan federalisme kita selalu dinamik,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kali terakhir pindaan kepada kadar pemberian ini dibuat adalah 24 tahun yang lepas iaitu pada tahun 2002.
RUU itu bertujuan untuk menambah pemberian mengikut bilangan orang yang diberi kepada setiap negeri dan untuk memastikan layanan yang lebih adil negeri yang kurang penduduk, malah negeri yang ramai penduduk turut mendapat pemberian yang lebih tinggi.
Akta itu yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini dan dijangka melibatkan perbelanjaan wang tambahan sehingga RM538 juta.