fb fb fb fb fb

Dewan komuniti bernilai RM2 juta bakal dibina di Bandar Sri Sendayan

Aminuddin (tiga dari kiri) dan Mohamad Haslah (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan replika cek dari Pengarah Urusan Kumpulan Matrix, Ho Kong Soon (dua dari kanan) kepada Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali (kiri) pada Majlis Penyerahan Dana Sumbangan Pembinaan Dewan Komuniti Bandar Sri Sendayan di Seremban.

SEREMBAN, 12 Januari- Sebuah dewan komuniti yang dianggarkan bernilai RM2 juta akan dibina di kawasan Bandar Sri Sendayan dan dijangka siap pada tahun 2026.

Pembinaannya di tanah seluas 0.81 hektar berhampiran Klinik Kesihatan Bandar Sri Sendayan sekali gus dilihat dapat memenuhi keperluan aktiviti komuniti hampir 40 persatuan penduduk dengan populasi seramai 50,000 isi rumah di sekitar kawasan tersebut.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pembinaan dewan komuniti itu akan diuruskan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan turut mendapat sokongan daripada pihak syarikat pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) selaku syarikat pemaju di kawasan berkenaan.

" Keberhasilan syarikat korporat dan kesejahteraan penduduk tempatan adalah dua hal yang dapat dicapai secara serentak melalui kerjasama yang saling menguntungkan. Saya yakin bahawa dengan komitmen bersama dan semangat kerjasama, kita dapat mencipta satu model kerjasama yang berjaya, dan membuka pintu perbincangan yang memberi impak positif kepada semua pihak," katanya.

Aminuddin berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pembinaan Dewan Komuniti di Bandar Sri Sendayan di sini.

Beliau juga berharap melalui pembinaan dewan komuniti itu dapat membentuk satu platform untuk berinteraksi, berkongsi idea dan mengeratkan hubungan melalui pelbagai aktiviti sosial sekali gus melonjakkan ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, sebagai satu tanggungjawab sosial korporat, syarikat berkenan turut menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM1 juta bagi kerja pembinaan dewan komuniti tersebut.

“Kumpulan Matrix Concepts menyalurkan dana sumbangan sebanyak RM500,000 pada tahun ini dan selebihnya iaitu RM500,000 akan disalurkan secara berfasa kepada pihak MBS bagi perlaksanaan projek pembinaan dewan komuniti pada tahun depan,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI