KUALA LUMPUR, 2 September - Tiada pelajar Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas dalam demonstrasi yang berlaku di beberapa wilayah di Indonesia sejak Isnin minggu lepas.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, lebih 1,200 pelajar Malaysia kini berada di pelbagai institusi pengajian tinggi di negara itu dan berada dalam keadaan selamat.
"Bagaimanapun, kita sedang mengikuti secara langsung dan secara dekat bersama-sama dengan Wisma Putra dan kita ada wakil kita di sana iaitu Education Malaysia Indonesia (EMI) dan mereka sentiasa memberikan maklum balas terkini berkaitan dengan keadaan di Indonesia.
"Setakat ini, Alhamdulillah kita tidak mendapat sebarang berita-berita yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Institute Of Internationalization And Asean Studies (INTAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Buku 'Education Of The Interior: Essays In Honour Of Professor Syed Ali Ashraf' di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) UIAM Kampus Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Seri Dr Zambry, pemantauan akan dilakukan secara menyeluruh kerana impak rusuhan tidak hanya tertumpu di Jakarta, sebaliknya berlaku di beberapa daerah lain.
“Kita percaya pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah terbaik untuk memastikan keadaan kembali pulih. Dengan kepimpinan pemerintah Indonesia sekarang, saya yakin mereka mampu mengatasi masalah ini demi keselamatan rakyat mereka dan juga kestabilan serantau,” katanya.
Terdahulu, media tempatan Indonesia melaporkan beberapa siri demonstrasi di Sulawesi Selatan bertukar tegang apabila penunjuk perasaan dilaporkan merosakkan kemudahan awam seperti hentian bas TransJakarta dan stesen MRT Jakarta.
Sehingga kini pihak berkuasa Indonesia telah menahan lebih 1,000 individu yang dipercayai terbabit dalam demonstrasi tersebut.
Wilayah Jakarta merekodkan kerugian kira-kira RM15.2 juta akibat kerosakan infrastruktur dan kemudahan awam.