(Ismail Sabri dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan RTM pada Ahad)
KUALA LUMPUR, 15 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, belia memainkan peranan besar dalam pembentukan negara bangsa terutama dalam memilih pemimpin yang akan mengemudi Malaysia selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.
Justeru katanya, peranan sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, tentunya meningkatkan jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang dalaam memilih pemimpin negara.
"Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada 2020 ialah 6.2 juta orang iaitu 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar.
"Pada 12 Mac 2022, negara mencipta sejarah baharu apabila golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatat peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18,” katanya.
(Peranan belia sebagai pengundi muda dengan pelaksanaan Undi18, tentunya meningkatkan
jati diri menjadi warganegara bertanggungjawab menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang dalaam memilih pemimpin negara)
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ yang disiarkan RTM pada Ahad.
Perdana Menteri berkata, penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif serta perlu dikembangkan lebih meluas.
Menurut Ismail Sabri, pemimpin belia perlu mengambil tahu dan sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.
Katanya, pelaksanaan pindaan akta itu dapat meramaikan pemimpin belia berumur di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada golongan itu untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.