KUALA LUMPUR, 26 Mei- Pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045 : Masa Depan Bersama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini menandakan penerimaan rasmi terhadap Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045) yang bersifat berani, inklusif dan berpandangan jauh.
Visi dua dekad itu berteraskan rakyat sebagai nadi kepada integrasi dan pembangunan serantau, dengan penekanan terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang inklusif.
Ia turut mengiktiraf kepelbagaian politik, sosial, budaya, agama dan etnik sebagai asas kekuatan komuniti ASEAN, selain memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial.
Berdasarkan dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang diterbitkan hari ini, ACV 2045 memperkukuh aspirasi ASEAN untuk menjadi pasaran tunggal dipacu tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan inklusif.
Visi itu turut membuktikan komitmen terhadap pertumbuhan mampan melalui ekonomi hijau dan biru, serta jaminan akses kepada ruang digital selamat serta boleh dipercayai.
Pelan itu turut menekankan usaha memperkukuh ketersambungan intra-ASEAN, kemudahan perjalanan dan perniagaan, penggunaan mata wang tempatan untuk urus niaga rentas sempadan serta akses kepada sistem kesihatan lebih berdaya tahan.
Ia menjamin peluang saksama, terutama kepada wanita, belia dan kanak-kanak, untuk terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan.
Bagi rakan luar ASEAN, ACV 2045 membuka pintu kepada jalinan kerjasama strategik dengan blok serantau yang dinamik dan berdaya tahan, komited serta mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada rantau yang aman, selamat dan stabil.
Ia juga menyediakan peluang kerjasama dalam menangani isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama seperti perubahan iklim dan alam sekitar, kesihatan awam, ancaman keselamatan bukan tradisional dan tadbir urus ekonomi global
Dokumen berkenaan turut menyatakan bahawa pihak berkepentingan luar berpeluang meraih manfaat daripada peningkatan perdagangan, pelaburan dan kerjasama inovasi, penglibatan pertahanan dan keselamatan yang lebih mendalam, dan perkongsian amalan terbaik dalam integrasi serantau.
ACV 2045 berkenaan juga mengesahkan semula peranan ASEAN sebagai suara yang berwibawa dan bersatu dalam hal ehwal global, khususnya bawah Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik.