fb fb fb fb fb

Deepavali: PDRM perkukuh keselamatan, fokus kawasan tumpuan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Oktober - Menjelang sambutan Deepavali, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat kehadiran anggota di lapangan melalui rondaan dan program 'walkabout' di kawasan tumpuan utama ibu negara.

Ia dilaksana dengan kerjasama Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan komuniti setempat bagi memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan pengunjung serta peniaga.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pendekatan turun padang melalui rondaan dan program 'walkabout' menjadi kaedah utama memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga sentiasa terjamin.

“Little India merupakan sebahagian daripada nadi kehidupan warga kota. Menjelang Deepavali, kehadiran pengunjung bertambah dan polis mahu memastikan suasana meriah ini berlangsung dalam keadaan selamat,” katanya ketika menyertai Program Walkabout Ketua Polis Kuala Lumpur dan Program Cakna Jenayah MCPF Kuala Lumpur di Brickfields, hari ini.

Katanya, penugasan anggota lebih tertumpu di lapangan untuk memantau keselamatan awam secara langsung sepanjang musim perayaan.

“Kemeriahan yang kita lihat di sini mencerminkan keharmonian bandar raya ini. Suasana sebegini perlu dikekalkan dan ia memerlukan pengawasan serta kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Selain itu, beliau menekankan sinergi bersepadu antara PDRM, MCPF, pihak berkuasa tempatan, rukun tetangga dan persatuan perniagaan sebagai penggerak utama keberkesanan kawalan keselamatan.

“Gabungan semua pihak menunjukkan bentuk kerjasama yang menyeluruh. Kalau mahu Kuala Lumpur kekal selamat, inilah caranya,” tegasnya.

Program tersebut turut dihadiri Setiausaha MCPF Kuala Lumpur, Yathiren Saminathan, Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hisham Izhar Pengerusi KRT (A) Brickfields, G Subramaniam serta wakil rukun tetangga, persatuan peniaga dan pegawai PDRM termasuk pasukan Amanita.

Datuk Fadil berkata, siri inisiatif seumpama itu akan diteruskan di peringkat kontinjen dan daerah sebagai usaha berterusan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan bandar raya.

“PDRM komited memastikan rasa aman yang dinikmati warga Kuala Lumpur dapat dipertahankan melalui penglibatan masyarakat dan kehadiran polis di lapangan,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN