fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 : MCMC perkukuh keterangkuman digital dan kesalinghubungan negara

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melawat menara telekomunikasi Sapagaya bersempena lawatan kerja ke Tawau dan Lahad Datu/ BERNAMA

CYBERJAYA, 11 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik penekanan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuh kesalinghubungan komunikasi, memperluas pembangunan infrastruktur digital negara, serta memperkasa masyarakat melalui teknologi dan inovasi.

MCMC menerusi kenyataan menegaskan komitmennya untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara.

Langkah itu juga bertujuan memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia.

Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 bilion, melibatkan pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh kesalinghubungan serta capaian Internet negara.

Selain itu, peluasan liputan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 dengan peruntukan RM780 juta akan diperluas ke 2,700 lokasi baharu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sebanyak RM650 juta pula diperuntukkan bagi meningkatkan ketersambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Melalui peruntukan RM350 juta, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan diperkasa sebagai hab latihan dan keusahawanan bagi membantu usahawan desa menjana pendapatan.

Manakala RM210 juta diperuntukkan untuk membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana serta melindungi keselamatan rakyat.

Bagi memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika, MCMC akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion. Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) serta Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

MCMC turut menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026, sekali gus menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.

Pada masa sama, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan penggunaan Internet beretika dalam kalangan masyarakat.

Secara keseluruhannya, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan digital secara saksama.

ROSLINA BINTI DIN