fb fb fb fb fb

Deepavali: 10,000 guna pengangkutan air dari Labuan ke Sabah, Sarawak & Brunei

Kenderaan beratur menunggu giliran di Terminal Feri Kenderaan Labuan/ Foto RTM

LABUAN, 18 Oktober - Dianggarkan lebih 10,000 orang menggunakan perkhidmatan feri Ro-Ro dan bot laju dari Labuan ke ke tanah besar Sabah, Sarawak dan Brunei bermula semalam hingga Rabu depan.

Peluang itu diambil bersempena dengan cuti sambutan perayaan Deepavali dan cuti persekolahan tambahan oleh Kementerian Pendidikan.

Tinjauan RTM di terminal feri kenderaan Labuan mendapati keadaan terkawal dan operasi berjalan lancar.

Jabatan Laut Malaysia Labuan memaklumkan, selain perkhidmatan feri Ro-Ro sedia ada, pihak operator menambah sebanyak 11 feri untuk perjalanan keluar dan masuk sempena musim perayaan ini.

Namun begitu, ia masih tidak mencukupi dan tiket habis dijual dalam waktu singkat.

Malah, ada yang sanggup berada dalam senarai menunggu sejak malam tadi.

Seorang pengguna, Leonardo El Nino Yam memaklumkan, dia terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan tiket.

"Lama juga menunggulah sebab dari semalam berbaris dekat hujung kaunter. Jadi gembiralah bila dapat balik. Saya rasa berpuas hati, cuma pendapat saya kalau boleh diperluaskanlah tiket ni Supaya senang kita mahu buat tempahan selepas ini, " katanya.

Seorang lagi pengguna, Ros Aina Rosilin pula berharap masa menunggu dapat disingkatkan.

"Untuk cuti sekolah nak balik kampung. Beli tiket untuk perjalanan balik yang tidak dirancang. Lama juga menunggu untuk dapatkan tiket dalam 15 jam. Namun, alhamdulillah dapat. Ini antara pengalaman paling lama menunggu, " ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Antarabangsa untuk penumpang bot laju dan feri ekspres juga dilihat terkawal, dan berjalan seperti biasa.
 
 
 

EMMI NORALIZA ADNAN