KEPALA BATAS, 18 Oktober - Keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor yang ditemukan maut di puncak Gunung Liang, Perak berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan.
Ibu Allahyarham, Rohani Saad berkata, mereka reda dengan kematian Mustaqqeem, namun berasa sangsi dan tidak berpuas hati dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu.
"Kami bukan pertikai pasal anak mati, anak mati kami reda dan ini ketentuan-Nya, yang kami tak puas hati pasal apa mereka tinggalkan dia (atas gunung) dan langsung tidak buat laporan polis," katanya.
Rohani turut berkongsi kata-kata terakhir Mustaqqeem ketika Allahyarham datang ke rumah bertemunya.
" Dia (Qeem) kata, dia mai (datang) nak tengok mak sahaja. Tidak mahu bertemu orang lain. Dia salam, peluk cium sambil beritahu nak pergi naik gunung."
“Mak cik kata hati-hatilah naik gunung dan mak cik tunjuk telefon mak cik rosak, Qeem kata kalau Qeem balik nanti Qeem tengok. Sebelum balik, arwah berulang kali beritahu dia dah nak pi (pergi) ni. Tahu-tahu, dengar berita macam ni (meninggal dunia)," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, di sini, hari ini.
Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang Khamis di puncak Gunung Liang selepas memulakan pendakian bersama 10 rakan-rakannya pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.
Pihak polis mengesahkan kematiannya akibat hipotermia.