fb fb fb fb fb

DBKL sedia garis panduan baharu tangani pokok berusia dan berisiko

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dengan menyediakan garis panduan baharu yang memberi fokus pokok berusia dan berisiko tinggi.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan garis panduan baharu itu dijangka siap Julai ini, namun pihaknya akan terus menjalankan kerja-kerja pemantauan terhadap pokok berisiko dengan mengambil kira aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Kenyataan itu menyebut hingga kini sebanyak 175 pokok dikenal pasti berisiko tinggi iaitu sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun dengan 147 daripadanya telah ditebang.

“DBKL menerusi kontraktor yang dilantik telah menjalankan pemeriksaan ke atas pokok yang berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter di sekitar Kuala Lumpur sejak 2019.

“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024 dengan 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pokok berisiko adalah merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur serta tumbang dan penilaian risiko pokok pula dilakukan dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

Jelasnya, jika keadaan pokok didapati tidak memuaskan, penilaian lanjut diikuti dengan tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan pokok akan dilaksanakan.

Pihak DBKL turut menzahirkan dukacita dan takziah kepada kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Selasa lepas.

"Bagi mangsa yang terlibat, DBKL akan membantu untuk memudah cara apa-apa tuntutan kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan)," menurut kenyataan itu.

Pada 7 Mei lalu berlaku kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang yang telah meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail.

ZEHRA BINTI ZAMBRI