fb fb fb fb fb

DBKL rancang perkenal bas GoKL bersaiz kecil bagi laluan sesak, sempit

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk memperkenalkan bas percuma GoKL bersaiz lebih kecil bagi memudahkan pergerakan terutama di laluan luar pusat bandar yang sesak dan sempit.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata keperluan itu memandangkan kawasan luar pusat bandar yang banyak tertumpu di kawasan kediaman mempunyai jalan raya sempit hingga menyukarkan pergerakan bas dan berisiko menyebabkan perlanggaran.

(Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah / FOTO FAIL)

"Jalan raya di kawasan kediaman tidak sama dengan jalan raya di pusat bandar yang lebar dan luas, ada selekoh dan persimpangan tertentu yang dilalui bas percuma GoKL itu agak susah dan ini akan melambatkan untuk sampai ke destinasi berikutnya," katanya kepada pemberita selepas melakukan ujian percubaan bas percuma GoKL di laluan baharu iaitu Laluan Taman Fadason-MRT Sri Delima dan Laluan MRT Jinjang-Matrade, semalam.

Kata Mahadi, perkara itu akan dibincangkan dengan pembekal bas untuk melihat kesesuaiannya.

Ketika ini, bas GoKL adalah bersaiz 13 dan 10 meter panjang.

Tambah Mahadi, sepanjang tahun ini hingga November lepas seramai 7.8 juta penumpang menggunakan perkhidmatan bas percuma berkenaan.

Mengenai cadangan mengenakan caj kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan tersebut, Mahadi berkata perkara tersebut masih dalam penilitian dan beberapa proses penambahbaikan perlu dilakukan sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Ini termasuk memuktamadkan tambang sesuai, kemudahan gajet dalam bas dan mekanisme paling sesuai untuk digunakan seperti penggunaan kad," katanya.

Media Baharu