fb fb fb fb fb

DBKL lancar Bandar Mesra AED, tingkat kesedaran awam

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan inisiatif 'Bandar Mesra AED' menerusi 'Larian Santai AEDforALL' yang berlangsung di Dataran DBKL bersempena program 'KL Car Free Morning'.

Inisiatif tersebut sebagai simbol komitmen berterusan DBKL bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan Defibrilator Luaran Automatik (AED) serta memperluaskan akses peranti itu di kawasan tumpuan awam sekitar ibu kota.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Nor Azlina Mohd Saad berkata penyediaan AED dan pendedahan kepada penggunaan asasnya adalah langkah penting ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih selamat, sihat dan berdaya tahan.

"AED merupakan peranti kecemasan yang boleh digunakan orang awam dengan panduan suara bagi membantu memulihkan irama jantung mangsa henti jantung mengejut sebelum bantuan perubatan tiba," katanya menerusi kenyataan.

Larian sejauh lima kilometer disertai 300 peserta terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

Majlis perasmian inisiatif 'Bandar Mesra AED' disempurnakan oleh Nor Azlina bersama Pengarah Eksekutif (Perancangan), Md. Nadzri Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr. Nor Halizam Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif Altica Sdn Bhd, Dr. Asnawi Ahmad.

Setakat ini, 50 unit AED sekitar ibu kota telah dipasang di bawah fasiliti DBKL.

AEDforALL merupakan kempen meningkatkan literasi CPR-AED dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan komuniti demi menyelamatkan lebih banyak nyawa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM