TAWAU, 14 Disember - Sebanyak 30 buah rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Jade 4, Kampung Sri Aman, Jalan Apas, Tawau, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.23 malam dan menggerakkan 17 anggota ke lokasi kejadian, kira-kira tujuh kilometer dari balai, sebelum tiba 10 minit kemudian.
"Operasi pemadaman turut dibantu enam anggota masing-masing dari BBP Kunak dan Bomba Komuniti Kampung Titingan. Pemadaman dijalankan menggunakan tiga kaedah termasuk pancutan air daripada pili bomba serta sumber air terbuka dari laut.
"Bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi, pasukan bomba turut menggunakan pam angkut serta sistem relay air daripada jentera 'Fire Rescue Tender' (FRT) dan 'Water Tanker'.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak serta menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3.10 pagi," katanya menerusi kenyataan.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.