fb fb fb fb fb

Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 7 Mei- Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula bagi meningkatkan daya tahan serta mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan negara dalam menguruskan bencana dengan lebih baik kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kerajaan bersetuju menyemak semula Dasar Pengurusan Bencana Negara dalam meningkatkan daya tahan, mengukuhkan kesiapsagaan serta keupayaan menguruskan bencana dengan lebih baik.

"Pindaan itu dijangka akan memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisma pengurusan bencana negara," katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 di ibu negara.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM5 juta yang disediakan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Beliau berkata ia bagi pelaksanaan program serta latihan kesiapsiagaan dan kesedaran komuniti untuk menghadapi bencana termasuk program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) dan untuk digunakan oleh agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana.

"Kita harus bersiap siaga lebih daripada kebiasaan dengan itu saya mengharapkan bahawa program yang kita rancangkan iaitu program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM).

"Kita harus menyediakan kesiapsiagaan kita daripada sekarang," katanya.

Pada Majlis tersebut, seramai 400 petugas barisan hadapan diberikan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan kerajaan dan pihak media yang terlibat sepanjang musim Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berakhir pada Mac lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI