fb fb fb fb fb

Integrasi ekonomi serantau, kerjasama pascapandemik fokus kunjungan PM ke Jepun

(GAMBAR FAIL)
TOKYO, 23 MEI 2022 - Pemerkasaan Dasar Pandang ke Timur dan rundingan tarikan pelaburan merupakan antara fokus utama lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Jepun bermula hari ini.

Hubungan dua hala Malaysia-Jepun juga akan dapat diperincikan Perdana Menteri menerusi sesi pertemuan dengan rakan sejawatannya Fumio Kishida termasuk prospek perluasan kerjasama pascapandemik COVID-19 dan pembukaan sempadan.

Ia adalah pertama kali kedua-dua pemimpin bertemu sejak kedua-duanya menjawat jawatan Perdana Menteri.

Menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor'Azam Mohd Idrus, selain matlamat utama pertemuan empat mata, Datuk Seri Ismail akan membawa misi meluaskan lagi hubungan 65 tahun Kuala Lumpur bersama Tokyo dan menjayakan Dasar Pandang Ke Timur yang banyak menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan kedua-duanya.

Untuk itu, kedua-dua Perdana Menteri bakal menyaksikan tiga majlis menandatangani memorandum kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan Jepun.

Ia melibatkan memorandum kerjasama di antara Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Mengenai Industri Pesawat, diterajui Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI), Kerjasama Rangka Kerja Asas bagi Kerjasama Maklumat Pengoperasian Sistem Sumber Manusia Asing Berstatus Pekerja Mahir diterajui Kementerian Sumber Manusia dan kerjasama Kementerian Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi Mengenai Golongan Belia yang diterajui Kementerian Belia dan Sukan.

(Sesi sidang media mengenai Lawatan Kerja Rasmi YAB Perdana Menteri ke Jepun pada 23-28 Mei 2022
oleh Nor'Azam Mohd Idrus, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo)

Pada masa sama, ucaptama Perdana Menteri di hadapan peserta Persidangan Nikkei kali ke-27 yang terdiri daripada komuniti politik, perniagaan dan akademik rantau Asia Pasifik juga antara yang dinantikan menerusi lawatan kerja rasmi kali ini.

"Beliau dijangka membangkitkan isu-isu termasuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memperkasa mekanisme rundingan dan kerjasama dalam menangani perubahan iklim. Penyertaan beliau di platform ini akan membolehkan Malaysia berkongsi idea dan pengalaman dalam menentukan hala tuju rantau Asia pada masa hadapan".

Semasa lawatan itu juga, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh korporat dan ahli perniagan daripada syarikat-syarikat terbesar Jepun bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) antara kedua-duanya.

Pertemuan yang dijadual termasuk bersama syarikat Mitsui Fudosan, Mitsubishi Power dan Marubeni yang berhasrat mengembangkan lagi pelaburan di Malaysia, selain komuniti perniagaan dari Itabashi City.

Menerusi pertemuan yang diatur, Malaysia mengharapkan penghasilan hubungan lebih baik sekali gus menarik minat lebih banyak pelaburan masuk ke dalam negara.

Mengenai hubungan perdagangan Malaysia-Jepun, pada bulan Januari hingga Mac tahun ini, jumlah perdagangan direkodkan meningkat 13.3% kepada RM41.75 bilion berbanding RM36.86 bilion tempoh sama tahun lalu.

Pada tahun 2021, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM149 bilion. Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ke-3 terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek-projek yang dilaksanakan berjumlah RM90.9 bilion.

UCAPTAMA SULUNG PADA PERSIDANGAN ANTARABANGSA, PM USAHA MARTABAT BAHASA MELAYU
 
Dalam pada itu, Perdana Menteri buat pertama kali akan mengetengahkan usaha pemerkasaan Bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa.

Beliau dijangka menyampaikan ucaptama sulungnya menggunakan Bahasa Melayu pada Persidangan Nikkei ke-27 di Tokyo pada Khamis.

Datuk Seri Ismail juga akan menggunakan Bahasa Melayu dalam semua sesi ucapan pada majlis rasmi di Tokyo yang melibatkan delegasi asing dan media tempatan.

"Setaraf dengan dasar pandang ke timur ke-40 dan hubungan diplomatik ke-65 jadi ada beberapa program yang akan dilakukan untuk memperkasa Bahasa melayu. Kita ada Kerjasama dengan Tokyo University of Foreign Studies yang merupakan university yang mempunyai Bahasa melayu… ini adalah kerjasama antara ASEAN-Japan Centre dan juga beberapa organisasi lain", kata Nor'Azam

Selain pemerkasaan Bahasa Kebangsaan, Perdana Menteri akan turut membawa pengenalan konsep Keluarga Malaysia di Jepun, seperti juga dalam kunjungan rasminya ke Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pada lawatan kerja rasminya ke Jepun ini, Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, di samping Menteri-menteri lain iaitu Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan,  Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Dr Richard Riot Anak Jaem, Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Laporan oleh Azmah Abdul Wahab.

Berita berkaitan 
Lawatan kerja rasmi PM ke Jepun, perkukuh hubungan diplomatik 65 tahun

Media Baharu