fb fb fb fb fb

Pertimbang semula elaun kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia

JOHOR BAHRU, 23 Mei - Kementerian Pertahanan merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula pemberian elaun kenangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata perkara itu sudah dibawa kepada Kementerian Kewangan untuk disemak semula.

"Sebelum ini penerima PJM diberi secara 'one off', tetapi ini bergantung kepada kedudukan kewangan negara. Jadi pada dua tahun lepas ada veteran menerima, tetapi setahun berikutnya tiada tapi diberi kepada balu," kata Ikmal Hisham.

704 veteran ATM termasuk 47 veteran kurang upaya dan dua balu menerima PJM, sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka terutamanya semasa darurat.

Dalam pada itu, Program Kerjaya Gig Ekonomi Veteran ATM dengan kerjasama kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dengan Code Seven Technology Sendirian Berhad menyasarkan penyertaan 10,000 veteran ATM, untuk tahun ini.

Sehingga kini seramai 3,780 veteran ATM sudah ditawarkan bekerja melalui program berkenaan sejak ia dilancarkan pada 12 Januari tahun ini.

Ikmal Hisham berkata program tersebut memberi peluang pekerjaan kepada veteran ATM dengan konsep gig yang fleksibiliti bagi masa dan lokasi.

(Ikmal Hisham ketika majlis
Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Johor di sini)

"Program yang cukup baik yang saya sendiri lancarkan. Mereka menawarkan fleksibiliti dimana konsepnya macam ciri-ciri keselamatan. Contohnya kita tinggal rumah kita atau keluarga kita. Jika ada kebimbangan kita boleh buat panggilan dengan menggunakan kod 7. Melalui perkhidmatan ini mereka akan hantar anggota yang berdaftar untuk dari segi keselamatan," kata Ikmal Hisham di sini.

Kerajaan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM juga sudah melaksanakan 1,000 Program Cakna Veteran sepanjang tahun ini untuk menambah baik taraf hidup dan kesejahteraan Veteran ATM.

Selain menyediakan pengajian percuma kepada 2,500 anak-anak veteran ATM sepanjang lima tahun bermula hujung Mei ini,dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

Program ditanggung sepenuhnya JHEV ATM dan UNIRAZAK melibatkan anggaran pembiayaan RM31.3 juta.


Media Baharu