fb fb fb fb fb

Malaysia minat pelajari pengurusan terbaik Bandar Itabashi, Tokyo - PM

TOKYO, 24 Mei - Malaysia berminat mempelajari pengurusan terbaik daripada bandar raya Itabashi di Tokyo, terutamanya mengenai kaedah mengurangkan impak akibat pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan demikian ketika pertemuannya bersama Datuk Bandar Itabashi, Takeshi Sakamoto pada hari kedua lawatan kerja rasminya ke Jepun.

"Saya berminat bertukar-tukar pandangan dan mempelajari pengalaman yang ada," katanya.

Menurut Perdana Menteri, daripada apa yang disaksikan sepanjang pengamatannya di bandaraya Itabashi, beliau percaya banyak perkara yang boleh dipelajari Malaysia apatah lagi ketika pelbagai sektor sosial dan ekonomi perlu dibangunkan semula agar kembali dapat beroperasi secara optimum.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu Datuk Bandar Itabashi Takeshi Sakamoto)

“Malaysia sememangnya mengagumi Jepun kerana pencapaiannya yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, serta kejayaannya dalam pengurusan kebajikan rakyat dan kerjasama di peringkat antarabangsa. Saya berpandangan, kedua-dua buah negara boleh berganding bahu bersama-sama untuk mempromosi SDG di peringkat serantau dan antarabangsa” katanya.

Terdahulu sebaik tiba di bandar Itabashi, Datuk Seri Ismail bersama isteri dan delegasi diberi sambutan rasmi oleh Datuk Bandar Itabashi.

Ia merupakan majlis meraikan lawatan sulung beliau ke Jepun sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Itabashi adalah salah satu daripada 23 pusat bandar dalam metropolis Tokyo.

Berita lain mengenai lawatan kerja rasmi ke Jepun 
Integrasi ekonomi serantau, kerjasama pascapandemik fokus kunjungan PM ke Jepun
 
PM tiba di Tokyo, lawatan rasmi 
Lawatan kerja rasmi PM ke Jepun, perkukuh hubungan diplomatik 65 tahun


Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut meluangkan masa bertemu komuniti perniagaan Itabashi mengenai potensi pelaburan yang boleh ditawarkan di antara kedua-dua negara.

Ismail Sabri tiba di Tokyo tengah malam Isnin untuk memulakan lawatan kerja rasminya selama enam hari ke Jepun.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Mahadi Che Ngah Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Media Baharu