fb fb fb fb fb

Dasar China senada dengan kerangka Malaysia Madani

(FOTO BERNAMA)

BEIJING, 30 Mac- Malaysia memberi keutamaan kepada China untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berdasarkan kedudukan negara itu sebagai kuasa ekonomi utama dunia. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan China mempunyai hubungan baik dan tidak berdepan sebarang masalah sepanjang menjalin kerjasama dua hala.

"China merupakan rakan dagang yang penting kepada Malayasia dan perlu diberi keutamaan. Sebagai negara perdagangan, hubungan baik perlu diteruskan termasuk hubungan dengan Amerika Syarikat," katanya di majlis berbuka puasa di sini bersama lebih 200 rakyat Malaysia di China.

Perdana Menteri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia di China kerana menjaga imej negara dan mematuhi peraturan di negara itu.

Katanya kebanyakan dasar yang diperkenalkan China senada dengan kerangka Malaysia Madani termasuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat. 

China telah mengiktiraf Malaysia biarpun sektor perdagangan negara ini berskala kecil.

Malahan Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan dilihat semakin utuh dan stabil sekali gus menjadi faktor pertumbuhan sektor perdagangan dan pelaburan Malaysia.

"Saya bersyukur dengan apa yang telah kita usahakan dengan menjalin kerjasama antara parti semakin kukuh dan stabil hari demi hari.

"Sebagai negara demokratik yang sentiasa menerima kritikan dan pandangan berbeza, kami akan membaiki sebarang kekurangan yang dihadapi," tambahnya.

(Datuk Seri Anwar pada majlis berbuka puasa di sini bersama lebih 200 rakyat Malaysia
di China)

Media Baharu