PUTRAJAYA, 20 Januari - Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 yang mengandungi lima teras utama akan dilancarkan bulan hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020.
"Dasar yang akan memayungi pembangunan Agrikomoditi Negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman.
"Ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca COVID-19," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia, di sini.
DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mapan 2030.