fb fb fb fb fb

Dagangan Bursa Malaysia kekal tinggi sesi tengah hari

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 10 Julai- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi, disokong oleh belian berterusan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi walaupun sentimen di pasaran serantau masih berhati-hati, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.97 mata kepada 1,385.64 daripada 1,377.67 pada penutup Jumaat.

Pada sesi pembukaan, indeks utama dibuka 0.11 mata lebih rendah pada 1,377.56 pagi ini, paras terendah untuk sesi pagi dan kemudiannya bergerak mencecah paras tertinggi 1,386.94 dalam tempoh tersebut.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 350 berbalas 322, manakala 407 kaunter tidak berubah, 1,180 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.28 bilion unit bernilai RM719.49 juta.

Namun begitu, menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng keadaan pasaran masih lemah.

"Kami mengunjurkan beberapa halangan untuk kaunter teknologi memandangkan permintaan global yang lebih perlahan selain persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi di Amerika Syarikat," katanya.

(Dagangan Bursa Malaysia kekal tinggi sesi tengah hari)

Pada minggu lepas, aliran menaik FBM KLCI tidak bertahan lama apabila dana asing muncul dan menjual pegangan masing-masing.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada harga RM8.67, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing menokok 2.0 sen kepada RM3.87 dan RM5.81, CIMB menambah 4.0 sen menjadi RM5.20 manakala TNB susut 1.0 sen kepada RM9.04.

Bagi saham aktif, SkyWorld yang baharu disenaraikan turun 3.0 sen kepada 77 sen, RGB International lemah 2.5 sen menjadi 35.5 sen, Sarawak Consolidated turun setengah sen kepada 46 sen manakala MyEG meningkat 4.5 sen kepada 76 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 48.81 mata kepada 10,215.29, Indeks FBMT 100 meraih 50.06 mata menjadi 9,910.38 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 62.44 mata kepada 10,493.62.

Indeks FBM 70 memperoleh 38.74 mata kepada 13,483.43 manakala Indeks FBM ACE susut 13.92 mata kepada 5,125.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 40.50 mata kepada 15,417.99, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.11 mata menjadi 158.36, Indeks Tenaga menokok 12.18 mata kepada 804.38 dan Indeks Perladangan meraih 58.43 mata kepada 6,861.36. -BERNAMA

Media Baharu