fb fb fb fb fb

Daerah Perak Tengah berjaya terajui agenda Koridor TVET Negeri

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah/BERNAMA

SERI ISKANDAR, 25 September- Daerah Perak Tengah berjaya memainkan peranan sebagai Koridor TVET Negeri selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata ia dicapai menerusi kerjasama erat antara Pejabat Daerah dan Tanah bersama institusi-institusi TVET yang terdapat di daerah itu.

Jelasnya, daerah tersebut mempunyai pelbagai institusi dan kursus TVET yang bersesuaian untuk anak muda, di samping mempunyai kedudukan yang strategik.

"Saya melihat setiap institusi yang menawarkan kursus TVET sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang untuk mempromosikan kursus serta kemahiran yang dilaksanakan.

Dengan adanya komitmen daripada pentadbiran daerah, usaha ini dapat digabungkan secara lebih tersusun. Akhirnya, kita berjaya merealisasikan hasrat dan impian Perak untuk menjadikan Koridor TVET negeri sebagai satu kejayaan," kata Khairudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival TVET 2025 daerah Perak Tengah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar, di sini.

Sebanyak 16 buah sekolah menengah di daerah tersebut mengambil bahagian dalam Pertandingan Inovasi TVET yang disediakan penganjur.

Menjelang pembentangan Belanjawan Perak 2026, Khairudin berharap agenda pemerkasaan TVET akan diberikan tumpuan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM