KUALA NERUS, 25 September- Projek baik pulih Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung yang hampir siap 99 peratus kembali mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat hakisan pantai, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pantai, Mustafa Embong, 60, berkata runtuhan itu disedari penduduk ketika keluar memancing.
"Kejadian ini berlaku kira-kira pukul 8.00 malam tadi. Penduduk yang hendak keluar memancing menyedari benteng telah runtuh. Pihak berwajib juga sudah datang meninjau kawasan ini dan kami harap kerja baik pulih dapat disegerakan kerana tidak mahu runtuhan terus berulang," katanya.
Malah, ketika tinjauan RTM dilakukan, satu lagi runtuhan turut berlaku di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor ketika dihubungi berkata, runtuhan melibatkan sebahagian struktur benteng laluan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada hakisan pantai pada bahagian bawah struktur.
Buat masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup sepenuhnya laluan berkenaan sehingga disahkan kembali selamat.
Penduduk kampung, Mohd Farizuan Mazlan pula bimbang jika masalah berlarutan menjelang musim tengkujuh.
"Saya harap pihak berwajib cepat selesaikan isu ini sebab kita dah masuk musim tengkujuh. Malam ini pula dijangka air pasang besar. Kalau lambat bertindak, runtuhan makin teruk dan kerugian pun bertambah," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Alif Nazrullah Masriza berkata, keadaan itu mengejutkan kerana jalan yang baru dibaiki kembali runtuh dalam tempoh singkat.
"Kami terkejut sebab jalan ini baru siap lebih kurang sebulan lalu, tapi sudah runtuh lagi akibat hakisan (pantai). Jalan ini dekat sangat dengan kampung, jadi harap tindakan segera diambil," katanya.
Sebelum ini, laluan sama mengalami kerosakan teruk akibat hakisan pantai pada Januari lalu.
Projek baik pulih berjumlah RM4.95 juta melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dijangka siap sepenuhnya bulan depan sebelum bermulanya Monsun Timur Laut (MTL).