fb fb fb fb fb

Cubaan bawa masuk PATI gagal, 11 orang berjaya ditahan imigresen

PERLIS, 9 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis berjaya mematahkan cubaan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam kejadian jam 1.30 pagi tadi.

11 PATI warga Myanmar terdiri 9 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia antara 10 hingga 49 tahun ditahan dalam Operasi Kutip di Jalan Padang Besar-Changlun.


(11 PATI warga Myanmar terdiri 9 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak
berusia antara 10 hingga 49 tahun ditahan dalam Operasi Kutip di Jalan Padang Besar-Changlun)

Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Talib dalam kenyataannya berkata, operasi dijalankan sepasukan 5 orang dari Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Kangar.

Semasa operasi dijalankan, pasukan penguatkuasa tersebut telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis van berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik sahaja pasukan penguat kuasa JIM Perlis cuba mendekati, van tersebut secara tiba-tiba terus memecut laju ke arah Changlun, Kedah.

Pasukan penguatkuasa JIM Perlis terus mengejar van tersebut dan berlaku adegan kejar mengejar sejauh lebih kurang 10 kilometer sebelum van tersebut tersalah memasuki jalan mati.

Pemandu dan seorang penumpang hadapan bertindak melarikan diri dan meninggalkan van tersebut setelah tidak dapat meneruskan perjalanan.

Pasukan penguatkuasa JIM Perlis kemudiannya memeriksa van tersebut dan menemui kesemua 11 PATI terbabit yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen Kangar, Perlis untuk siasatan lanjut.

Media Baharu