fb fb fb fb fb

Cuaca panas, pihak sekolah diingatkan patuh garis panduan

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh menyantuni murid-murid yang hadir pada hari pertama sesi persekolahan tahun 2025-2026 di SJKC Chung Tack, Simee/ BERNAMA

IPOH, 17 Februari- Pihak pentadbir sekolah diingatkan agar sentiasa mengikut garis panduan berkaitan cuaca panas yang ditetapkan sebelum ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu diambil susulan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda kebanyakan kawasan utara Semenanjung, Pahang dan Kelantan bermula bulan ini sehingga Mei depan.

Pada masa sama, pihaknya juga akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengenai perkara tersebut.

"Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga pihak sekolah selalu mengikuti perkembangan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan mengambil tindakan yang sewajarnya menurut garis panduan sedia ada.

"Ibu bapa digalakkan untuk membekalkan air minuman yang mencukupi kepada anak-anak dan pada masa sama pihak sekolah juga akan memastikan terdapat bekalan air minuman yang mencukupi untuk anak-anak sekalian", katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack, Ipoh.

Dalam pada itu, Wong memaklumkan, terdapat peningkatan jumlah murid Tahun 1 yang mendaftar tahun ini iaitu sebanyak 461,198 orang berbanding hanya 447,82 orang tahun lalu.

Seramai 205,51 murid pula mendaftar bagi prasekolah, 17,547 bagi kelas peralihan dan 460,494 pelajar Tingkatan Satu.

Secara keseluruhan seramai 5.14 juta pelajar di seluruh negara iaitu 2.978 juta bagi sekolah rendah dan 2.161 juta bagi sekolah menengah.

ROSLINA BINTI DIN