Cuaca panas dijangka berlarutan hingga Jun

Dr. Mohd Hisham Mohd Anip/RTM

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlarutan sehingga awal atau pertengahan Monsun Barat Daya pada Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemuncak cuaca panas dijangka antara pertengahan Mac hingga pertengahan April.
  • Suhu maksimum 37 hingga 38 darjah Celsius di utara Semenanjung dan pedalaman, 35 hingga 36 darjah Celsius di negeri lain.
  • Orang ramai dinasihatkan mengurangkan pendedahan lama di kawasan terbuka terutama semasa perayaan; cuaca mungkin reda dalam lima hingga enam hari.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, kemuncak fenomena itu dijangka berlaku antara pertengahan Mac hingga pertengahan April.

“Suhu maksimum boleh mencecah antara 37 hingga 38 darjah Celsius di negeri utara Semenanjung termasuk Perlis, Kedah, utara Perak serta pedalaman Kelantan dan Pahang.

“Manakala negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak dijangka mencatat suhu maksimum sekitar 35 hingga 36 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau menjelaskan keadaan itu berpunca daripada kurangnya litupan awan selain kedudukan matahari yang berada tegak di ruang udara negara.

“Kombinasi kedua-dua faktor itu menyebabkan haba terus sampai ke permukaan bumi sekali gus meningkatkan suhu,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan pendedahan di kawasan terbuka dalam tempoh lama, terutama ketika musim perayaan.

Bagaimanapun, keadaan cuaca panas dijangka sedikit reda dalam tempoh lima hingga enam hari akan datang susulan perubahan corak tiupan angin yang berpotensi membawa hujan di kebanyakan kawasan.