fb fb fb fb fb

COVID-19: Sabah rekod kluster kelima libatkan institusi pendidikan

SABAH, 23 Januari - Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu COVID-19 melibatkan institusi pendidikan dengan kes indeks seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang dan tujuh kes positif yang dilaporkan daripada kluster itu setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Kluster Bypass Kologon-Ranau merupakan kluster kelima melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan dalam tempoh seminggu sejak Ahad lepas.

Kluster itu tercetus selepas kes indeks berusia 16 tahun yang merupakan pelajar yang tinggal di asrama sekolah terbabit disahkan positif COVID-19 pada 19 Januari sebelum enam individu lain turut dijangkiti wabak berkenaan.

Sebelum ini, empat kluster melibatkan penularan jangkitan di institusi pendidikan di Sabah masing-masing dilaporkan di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).

Media Baharu