fb fb fb fb fb

COP28 dijadual berlangsung 30 November ini

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah membuat persediaan bagi menghadiri persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-28 (COP28).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selain kementerian, pihaknya turut mendapatkan pandangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) sebagai input sebelum persidangan.

"Kita berharap bahawa semua negara akan dapat tunjuk satu progress daripada segi apa yang boleh dilakukan untuk perubahan iklim. Seperti disebut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), seriusnya perubahan iklim hari ini. Kita harap semua negara menunjukkan komitmen yang jelas. Kita juga menekankan bahawa kita memerlukan sokongan dan dukungan daripada negara-negara maju," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Nik Nazmi menyatakan Malaysia akan memberi fokus kepada aspek peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam persidangan tersebut.

COP28 dijadual berlangsung pada 30 November hingga 12 Disember 2023 di Dubai.

Ia merupakan medium dan platform kepada negara-negara ahli termasuk Malaysia untuk berbincang dan merunding langkah terbaik dalam menangani isu perubahan iklim yang sedang melanda dunia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM