fb fb fb fb fb

COO syarikat konsesi didakwa rasuah RM110,000

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi didakwa atas dua lagi pertuduhan rasuah berjumlah RM110,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Tertuduh, Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, Rostam didakwa secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM90,000 daripada sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu sebagai upah bagi dirinya.

Suapan melibatkan Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memberikan kerja No 1 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’ kepada sebuah syarikat pembinaan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM20,000 daripada individu sama, bagi tujuan sama.

Ia bagi projek sama memberikan arahan kerja No 2 bertajuk ‘To Supply Material and Install Rain Water Down Pipe’ kepada syarikat terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaraz, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Mahkamah membenarkan tertuduh menggunapakai ikat jamin RM60,000 bersama syarat-syarat tambahan yang direkodkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM