KUALA LUMPUR, 1 April- Organisasi Sukerelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) Kuarters Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mempunyai cara tersendiri dalam usaha 'selami jiwa' penduduk setempat apabila buat julung kalinya menganjurkan Bubur Lambuk Perdana, baru-baru ini.
Pengerusi Combi Kuarters HRC, Khaidir Baharuddin berkata, menerusi acara tersebut pihaknya dapat mendekati penduduk setempat dengan baik, sekali gus membolehkan mesej tentang kesedaran wabak denggi dan penjagaan kebersihan dapat disampaikan dengan berkesan di kawasan perumahan.
"Menerusi kerjasama yang baik bersama Persatuan Penduduk Kuarters HRC, pendekatan baharu ini dilihat berjaya memperkenalkan Combi dan peranan sebenar kami dalam komuniti.
"Acara ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti penyumbang, Surau Al-Islah, Surau Al Falah, Unit Penolong Pegawai Perubatan, Puspanita HRC. Lebih 2,000 pek bubur lambuk dapat kami sediakan untuk edaran penduduk setempat.
"Bubur Lambuk Perdana HRC merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan menyediakan hidangan berbuka puasa kepada mereka yang memerlukan, termasuk penghuni kuarters, kakitangan, pesakit, penjaga, pengawal keselamatan serta majlis berbuka puasa," katanya.
Hadir sama dalam acara tersebut, Pengarah HRC, Dr. Faizul Nizam Abu Salim.
Combi merupakan singkatan bagi 'Communication for Behavioural Impact'. Ia diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2001 sebagai salah satu strategi bagi menangani masalah denggi di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kuarters HRC, Muamar Zul Ikhman Mohd Nazeri berkata, peranan COMBI kini dilihat telah berubah berbanding sebelum ini yang banyak tertumpu kepada gotong-royong membersihkan kawasan kediaman setempat.
"Mendekati komuniti juga mampu memberi ruang kesedaran terutama dalam aspek kebersihan kawasan daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," ujarnya.