fb fb fb fb fb

China usaha pertingkat hubungan dua hala dan sesama rakyat -Wang Yi

(Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kanan) bergambar bersama
Menteri Luar China Wang Yi (kiri) selepas menghadiri mesyuarat dua hala antara
Malaysia dan Republik Rakyat China hari ini)

KUALA LUMPUR, 12 Julai- China bersedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit, buah-buahan tropika dan produk pertanian lain dari Malaysia, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

Wang yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak Isnin, berkata usaha sedang diambil untuk membolehkan kumpulan pertama pelajar Malaysia kembali ke China dan menyambung semula pengajian secepat mungkin. 

Beliau berkata kedua-dua pihak juga merancang untuk meningkatkan jumlah penerbangan terus antara China dan Malaysia selaras dengan aspirasi kedua-dua negara.

“Kami yakin memandangkan situasi COVID-19 semakin terkawal, rakyat antara kedua-dua negara boleh melawat antara satu sama lain sekerap mungkin, antara ahli keluarga dan saudara-mara,” kata Wang mengenai usaha mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk hubungan antara rakyat.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang diadakan selepas mesyuarat dua hala, di sini.

Wang berkata kedua-dua negara juga akan memanfaatkan peluang yang ditawarkan sempena Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia, bagi mewujudkan zon perintis terhadap kerjasama ekonomi dan perdagangan yang inovatif serta demonstrasi kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Lalaun (BRI).

"Kita akan memacu pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital serta bidang-bidang lain agar daya saing dan tahap pembangunan dapat dipertingkatkan secara bersama," katanya.

Wang berkata beliau dan Saifuddin turut membincangkan Pelan Tindakan Malaysia-China bagi jalinan ketersambungan dan akan menggandakan usaha untuk memajukan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembangunan di sepanjang laluan itu.

"Kami akan terus berhubung mengenai pembinaan landasan kereta api Singapura-Malaysia," katanya.

(Wang Yi pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Saifuddin Abdullah
yang diadakan selepas mesyuarat dua hala, di ibu negara)


Beliau berkata kedua-dua negara juga menantikan laluan tengah rangkaian kereta api Pan-Asia dapat disiapkan demi mencapai pembangunan yang saling berkait dan mempercepatkan proses integrasi serantau melalui ketersambungan kereta api China, Laos dan Thailand.

Sementara itu, Wang berkata beliau kagum dengan kek keju Musang King yang dihidangkan semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

“Perdana Menteri menghidangkan kek keju Musang King sebagai pencuci mulut, dan hidangan itu sangat lazat. Saya sangat kagum,” katanya. -BERNAMA

Media Baharu