fb fb fb fb fb

China Sokong pembentukan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan

Majlis Makan Tengah Hari Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China/ Foto FB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - China menyatakan sokongan terhadap pembentukan Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan bagi memastikan kawasan itu kekal aman dan stabil.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu disuarakan oleh Menteri Pertahanan China, Laksamana Dong Jun, semasa Majlis Makan Tengah Hari Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

“Semasa makan tengah hari bersama Menteri Pertahanan China, Admiral Dong, beliau menyatakan dengan jelas bahawa China menyokong pembentukan 'Code of Conduct' (CoC) di Laut China Selatan dan kita menantikan pelaksanaannya,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di sini hari ini.

Beliau menjelaskan rundingan berhubung COC kini diterajui oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) dan masih di peringkat perbincangan antara ASEAN dan China.

“Seperti yang anda sedia maklum, rundingan ini diuruskan oleh Kementerian Luar dan masih berjalan, namun China telah menyatakan sokongan terhadap keperluan adanya Code of Conduct tersebut,” katanya.

Tegasnya, isu Laut China Selatan tidak dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat dua hala itu, namun prinsip berhubung keamanan dan kerjasama serantau telah disampaikan dalam ucapannya.

“Isu itu tidak dibincangkan secara langsung, tetapi seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya, untuk kita menghadapi apa jua cabaran atau ancaman, kita mesti bertindak sebagai satu kumpulan bersatu, mempunyai suara dan objektif yang sama.

“Hanya dengan cara itu kita akan dilihat berkesan dan dihormati,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata Malaysia menegaskan keperluan semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa dalam menangani sebarang pertikaian, termasuk yang melibatkan perairan serantau.

“Saya juga menyebut bahawa semua pihak mesti menghormati undang-undang antarabangsa. Apa jua konflik perlu diselesaikan dengan menggunakan ukuran bersama yang diterima oleh semua iaitu undang-undang antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip tersebut dalam memastikan Laut China Selatan kekal sebagai zon aman dan terbuka untuk perdagangan antarabangsa.

“Bagi kita, keamanan dan kestabilan adalah asas kepada kemakmuran serantau, dan ia hanya boleh dicapai melalui pematuhan kepada undang-undang antarabangsa,” katanya.

ROSLINA BINTI DIN