KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Malaysia dan Timor-Leste hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, selaras dengan usaha memperkukuh keselamatan serantau di bawah rangka kerja ASEAN.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti pertahanan, perkongsian kepakaran serta latihan ketenteraan, sejajar dengan tahap kesediaan Timor-Leste yang baharu diterima menyertai ASEAN.
"Kita faham keadaan Timor-Leste dan kita tidak menjangka dan mengharapkan supaya dengan kemasukannya maka dengan serta-merta ia mampu untuk menyertai pada tahap sebagaimana mana-mana negara yang terdahulu yang telah menyertai ASEAN.
"Malaysia akan memudah cara dan membimbing mereka agar penyertaan ini tidak menjadi beban, sebaliknya peluang untuk memperkukuh keupayaan pertahanan negara mereka,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di sini hari ini.
Beliau berkata, penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN dan ADMM melambangkan komitmen baharu negara itu untuk bersama-sama memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan makmur.
“Kemasukan Timor-Leste bermakna satu lagi negara akan bersama ASEAN dalam mempromosikan keamanan dan keselamatan di rantau ini,” katanya.
Tambahnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada Timor-Leste untuk menyertai latihan ketenteraan dan maritim bersama negara anggota ASEAN lain, tertakluk kepada tahap kesediaan negara berkenaan.
“Yang penting ialah membina kepercayaan sesama negara anggota. Tanpa kepercayaan, kerjasama jangka panjang tidak akan kekal,” tegasnya.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena ADMM ke-19.
Dalam pada itu, ASEAN dan India bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan meliputi bidang keselamatan maritim, pertahanan siber, inovasi industri pertahanan, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat generasi baharu, hasil daripada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN–India yang turut diadakan di KLCC hari ini.
Beliau berkata, India dilihat sebagai rakan strategik penting ASEAN, bukan sahaja dari sudut ketenteraan, tetapi juga dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang menjadi pemangkin kepada keselamatan serantau.
“India bukan hanya kuasa besar ketenteraan seperti China atau Amerika Syarikat, tetapi peneraju dalam sains dan teknologi.
"ASEAN melihat potensi ini sebagai peluang membina hubungan strategik yang berasaskan inovasi dan pembangunan bersama,” katanya.
Beliau berkata, India telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan dasar keselamatan serantau, termasuk melalui projek bersama, latihan ketenteraan dan pertukaran kepakaran.
“India bersetuju untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif pertahanan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua mesyuarat itu, MoU Malaysia-Timor-Leste dan Dialog ASEAN-India menunjukkan komitmen berterusan ASEAN dalam memperkukuh rangka kerja keselamatan rantau ini melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
“Kita mahu memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, stabil dan berdaya tahan menghadapi cabaran keselamatan baharu,” katanya.