KLUANG, 9 Mei- Seorang bekas pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lima bulan, April lalu.
Tertuduh, Amirah Hazirah Mohd Farid, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, Amirah sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi tersebut, telah mendedahkan bayi tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah Taska di Kuarters Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, pada pukul 8.30 malam, 8 April hingga pukul 7.00 pagi, 9 April.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya , Nur Ramizah Razli, mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala Amirah diwakili peguam Norliana Hashim.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 serta perlu lapor diri kepada polis setiap bulan.
Kes akan disebut semula 13 Jun ini untuk serahan dokumen.