fb fb fb fb fb

Tuntutan Sulu: Kejayaan pertahan kedaulatan negara terus dikenang rakyat Sabah

Foto RTM

TAWAU, 9 Mei- Kerajaan Persekutuan berjaya mempertahankan kedaulatan negara daripada tuntutan tidak berasas pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata kejayaan itu merupakan satu legasi penting yang akan terus dikenang oleh rakyat, khususnya di Sabah yang sekian lama terkesan dengan polemik sejarah berkenaan.

"Menangani tuntutan Sulu yang telah difailkan oleh pihak tertentu di beberapa mahkamah di luar negara, kita telah memperoleh kemenangan.

"Ini membuktikan bahawa tuntutan Sulu tersebut tidak berasas dan merupakan satu kejayaan yang sangat signifikan dan amat bermakna yang telah dicapai oleh Kerajaan MADANI.

"Saya pasti rakyat Sabah akan menghargai serta melihatnya sebagai satu legasi penting yang telah dicapai oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet Persekutuan," katanya pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan petugas khas yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan itu di mahkamah antarabangsa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM